CUEPACS, MTUC bantah

KUALA LUMPUR 18 Jun – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membantah rancangan kenaikan gaji bagi pegawai tinggi dalam syarikat milik kerajaan (GLC) kerana merasakan ia tidak adil.

Secara umum, kedua-dua wakil kesatuan sekerja terbesar negara itu beranggapan, kenaikan gaji peringkat atasan perlu dilakukan bersama dengan kenaikan gaji pekerja peringkat bawahan.

Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, adalah tidak adil jika hanya pengurusan tertinggi GLC menerima sebarang bentuk kenaikan sedangkan pekerja bawahan dinafikan hak seperti itu.

“Dalam keadaan sekarang, kalau hendak memberikan kenaikan sehingga 100 peratus, itu sudah agak melampau,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Omar menambah, peningkatan sehingga 100 peratus akan hanya mewujudkan jurang gaji yang keterlaluan antara pihak pengurusan dengan pihak pekerja.

Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud berkata, adalah tidak munasabah sama sekali gaji pemimpin tertinggi GLC dinaikkan dalam keadaan rakyat mengalami kesukaran berikutan peningkatan harga minyak dan bahan makanan.

“Saya difahamkan kesatuan TNB hanya ditawarkan kenaikan gaji di bawah empat peratus, adakah ini adil,” katanya.